EduCity di Iskandar Malaysia: Pusat Pendidikan Taraf Dunia untuk Malaysia dan Rantau


24 Julai 2012

EduCity adalah salah satu pembangunan penting Iskandar Malaysia. Ia merupakan sebuah projek pemangkin dalam sektor pendidikan, yang menjadi kunci masa depan Iskandar Malaysia dan negara secara amnya.

Pembangunan EduCity selaras dengan salah satu objektif utama Rancangan Malaysia Kesembilan, iaitu untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Berada didalam kawasan Iskandar Malaysia yang amat strategik, enklaf pendidikan ini akan menjadikan pendidikan bertaraf dunia sesuatu yang lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia. EduCity juga berpotensi sebagai pusat pendidikan serantau yang menawarkan pendidikan bertaraf dunia yang terletak dalam lingkungan enam jam penerbangan dengan bandar-bandar terbesar Asia.

EduCity merangkumi kawasan seluas 305 ekar dan terletak dalam Nusajaya, Johor, berhampiran Medini Iskandar (“Medini”) – daerah perniagaan pusat Nusajaya. EduCity boleh diakses melalui Lebuhraya Persisiran yang menghubungkan Medini dengan pusat bandar Johor Bahru. Lebuhraya itu juga menghubungkan Medini dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin bagi pengunjung yang masuk dari Singapura menerusi Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKedua).

EduCity adalah projek yang dilaksanakan oleh Khazanah Nasional (“Khazanah”) di bawah tunggak ketiga mandat kami, iaitu untuk membuat pelaburan ekonomi baru serta pelaburan di kawasan geografi baru yang strategik untuk masa depan Malaysia, seperti China dan India.

Iskandar Investment Berhad (“IIB”), anak syarikat 60% Khazanah, adalah pemacu utama pembangunan EduCity. IIB ditubuhkan pada 2006 sebagai pembangun pemangkin (“catalytic developer”) yang membentuk usahasama dan kolaborasi bersama pelabur dan pemaju lain untuk mempercepatkan pembangunan di Iskandar Malaysia. EduCity juga adalah sebuah projek permulaan (“Entry Point Project”) di bawah Program Transformasi Ekonomi (“ETP”) Kerajaan.

Pembangunan enklaf pendidikan ini mengamalkan pendekatan “best-of-breed” demi membawa pendidikan berkualiti tinggi ke Malaysia. Projek ini diilhamkan sebagai pusat akademik bersepadu yang merangkumi keseluruhan spektrum pendidikan – pra-sekolah/tadika, sekolah rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Pada tahap pendidikan tinggi, falsafah aneka-varsiti EduCity akan membolehkan pemaju pendidikan global pelbagai-disiplin bertapak di dalam enklaf tersebut.

Secara strategiknya, EduCIty akan menjadi pengeluar bakat dan tenagakerja untuk menampung permintaan aktiviti-aktiviti ekonomi di Iskandar Malaysia. Pada kapasiti penuh, EduCIty dijangka menempatkan 16,000 pelajar pada pelbagai tahap pembelajaran.

Penghuni perintis enklaf pendidikan ini adalah Newcastle University Medicine Malaysia (“NuMED”), yang dibuka secara rasmi pada 1 November 2011 oleh HRH Prince Andrew, the Duke of York, dengan kemasukan 80 mahasiswa. NuMED meramalkan kampus Iskandar Malaysianya bakal menempatkan 900 mahasiswa pada 2015.

Pembangunan pelbagai kemudahan di EduCity kini berada pada beberapa tahap siap. Ianya termasuk:

  • Perkampungan Mahasiswa Antarabangsa, yang terletak di kawasan seluas lima ekar dan menyediakan penginapan pelajar. Kemudahan ini akan mula beroperasi pada Ogos 2012.
  • Kompleks Sukan dan Stadium, sebuah kompleks sukan dengan padang bola, arena tertutup, pusat akuatik, balapan larian 400 meter dan stadium yang boleh memuatkan 12,000 orang. Kemudahan ini hampir siap dan dijangka akan dibuka pada September 2012.
  • Kompleks Perusahaan Aneka-Varsiti, menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi yang bakal dibuka secara rasmi tahun ini, juga sekolah multimedia kreatif serta sekolah industri hospitaliti pada masa depan. Netherlands Maritime Institute of Technology dan University of Southampton Malaysia akan berpindah ke kompleks ini dan memulakan operasi pada September 2012.

Tambahan pula, beberapa insitusi pendidikan lain juga akan ditubuhkan di EduCity, Ini termasuk:

  • Raffles American School, sebuah akademi yang menawarkan pendidikan tahap pra-tadika hingga ke Gred 12. Kampus tetapnya dijadualkan siap menjelang Ogos 2014.
  • Marlborough College Iskandar Malaysia, sekolah harian dan berasrama untuk kanak-kanak berumur 11 hingga18 tahun. Ianya juga menyediakan khidmat sekolah persediaan untuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun. Kampus kolej ini terletak atas tapak 90 ekar dan merangkumi pelbagai kemudahan sukan dalam kawasannya. Kemudahan ini termasuk sembilan padang rumput, padang kriket, kolam renang 50 meter, kolam renang kecil, enam gelanggang tenis, gelanggang bola jaring, dan padang hoki, serta kemudahan tertutup untuk bola keranjang, bola tampar, badminton dan skuasy. Kolej ini akan dibuka secara rasmi pada Ogos 2012.
  • Raffles University Iskandar, yang dijadual memulakan operasi di kampus EduCity pada hujung 2014.
  • University of Reading, yang dijangka dibuka pada 2015 dengan siapnya kampus di EduCity. Kampus ini adalah projek pembangunan tunggal paling besar dalam sejarah university tersebut.
  • Multimedia University, yang akan membangunkan kampus cawangan yang bakal dibuka pada September 2014.

Dengan pelbagai pembangunan mengikut jadual dan bakal dibuka dalam masa dua tahun ini, EduCity berada di landasan terbaik untuk menjadi destinasi pendidikan “best-in-class” dengan persekitaran urban terunggul yang tersedia buat pelajar dan kakitangan untuk tinggal, belajar dan beriadah.

Enklaf pendidikan ini bakal menjadi komponen utama pembangunan sosio-ekonomi Iskandar Malaysia dan memainkan peranan penting bagi menjadikan Iskandar Malaysia metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mapan. Dalam artikel berikutnya, kami akan membicarakan tentang kemajuan dan pembangunan inisiatif Khazanah dalam sektor riadah dan pelancongan di Iskandar Malaysia.

* Rangkakerja keseluruhan Iskandar Malaysia diterangkan secara terperinci dalam Pelan Pembangunan Komprehensif, Bab 2: Wawasan dan Objektif.

(Artikel ini disediakan oleh Unit Kommunikasi dan Perhubungan Luar dengan kerjasama Bahagian Pelaburan)


Kembali ke atas

E-mel Kami